Loo Jo Yee . Ada kisah menarik mengenai beliau. Mari kita kongsi cerita beliau.

Beliau tiada nama Islam kerana sekarang seseorang muallaf sudah tak perlukan tukar nama dengan nama Islam, dan hanya perlu ber ‘binti’ kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa, maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.
Beliau telah masuk Islam ketika masih berusia 17 tahun, disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula 18 tahun sahaja. Jadi, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan.

Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.
Yang pertama adalah, beliau mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Oleh itu, mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam untuk masuk agama Kristian.

Namun untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji al-quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam.

Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam. Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar.

Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca al-quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

Peristiwa kedua yang membawa hidayah kedua beliau adalah ketika beliau menghidap mendapat penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda.

Rakan-rakan Islam Jo Yee telah banyak ‘encourage’ beliau untuk cuba berdoa kepada Allah taala. Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah.



Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah taala dan pada waktu itu juga la beliau mengucap 2 kalimah syahadah. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Loo Jo Yee berasa hiba kerana beliau berasa telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga tersasar di jalan Allah.

Banyak dugaan yang beliau terima selepas bergelar muallaf, hingga dipulaukan rakan-rakan sendiri dan keluarga tercinta. Beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri.


✿ܓ Aurat tidak akan tertutup dengan sifat LEMAH LEMBUT..
✿ܓ Tidak akan tertutup dengan PERANGAI BAIK..
✿ܓ Tidak akan tertutup dengan KATA-KATA yang BAIK..
✿ܓ Tidak akan tertutup dengan SOLAT..

✿Tetapi akan tertutup dengan PAKAIAN yang SEMPURNA..✿~

YANG DIKATAKAN SEMPURNA :

" Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perem-puan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) ALLAH adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "

( AL-AHZAB : 59 )


Keyakinan diri merupakan sesuatu yang kita perlu ada dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang muslim. Ia penting dalam usaha kita menyampaikan sesuatu mesej atau berkomunikasi.

Kadangkala bagi mereka yang mempunyai masalah jerawat akan merasakan bahawa keyakinan mereka kurang.

Jerawat berlaku kerana pelbagai faktor. Antaranya perubahan hormon, keturunan (genetik), tekanan dan makanan.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh diamalkan untuk mengurangkan atau mengelak jerawat :

1. Ambil wudu' sebelum tidur.

2. Pastikan diri berwudu' sepanjang masa.

3. Elakkan diri daripada tekanan.

4. Pastikan anda mempunyai rehat dan tidur yang cukup.

5. Elakkan daripada memicit jerawat dengan kuku kerana ia akan menyebabkan jerawat menjadi bengkak, merah dan berparut (radang).

6. Berdisiplin dalam menggunakan pencuci muka dan ubat.

7. Pastikan pencuci muka anda betul-betul sesuai dengan kulit muka.

8. Pastikan tangan anda sentiasa bersih kerana jika tangan kotor (mempunyai bakteria), maka ia akan memindahkan bakteria ke muka apabila anda menyentuh muka.

9. Pastikan kain pengelap muka anda sentiasa bersih dan lembut.

10. Lindungi kulit dari sinar matahari kerana ia akan meransang kulit mengeluarkan lebih banyak sebum sehingga menyebabkan pertumbuhan jerawat.

11. Kurangkan makanan yang pedas, berminyak dan berkalori.

12. Elakkan dari membuat atau memikirkan perkara-perkara yang boleh menaikkan ghairah nafsu.

13. Pastikan muka anda benar-benar bersih selepas memakai mekap.

- Artikel www.iluvislam.com


Oleh Izwan Zakaria. Terdapat salah faham dikalangan majoriti masyarakat Malaysia mengenai idea ‘bersenam’ dan erti ‘gaya hidup sihat’. Berikut adalah beberapa alasan yang selalu kita dengar dan respon mengenai cara untuk mengelaknya.

Alasan #1 - “Saya sangat sibuk, mana ada masa nak bersenam!”

Anda tidak akan pernah sibuk untuk bersenam! Bersenam ialah suatu kewajipan selagi kita masih hidup (dan jika mahu hidup panjang!). Jika anda sangat sibuk dan langsung tidak ada masa untuk luangkan masa ‘berharga’ anda walaupun 20 minit sehari, jadilah lebih aktif! Gunakan tangga berbanding lif. Cuba kurangkan penggunaan kenderaan. Jika sangat perlu, letak kereta anda sejauh mungkin supaya anda masih perlu berjalan ke destinasi yang anda ingin tuju. Okay anda mungkin berpendapat bahawa perkara-perkara ini adalah ‘remeh’ dan tidak mungkin membantu anda dalam mencapai objektif anda. Tetapi, jika anda mengambil langkah-langkah ini setiap hari, ianya akan memberi kesan lebih dalam jangka panjang! Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit juga kan!

Alasan #2 - “Buat apa bersenam? Saya telah ditakdirkan sebagai seorang gemuk!”

Saya berpendapat bahawa ini merupakan alasan yang tidak boleh diterima sama sekali! Ia seperti mengaku bahawa ada yang tidak kena tentang diri anda tetapi anda tidak mahu mengambil langkah proaktif untuk mengubahnya kerana menganggap bahawa ianya suatu yang telah ‘sebati’ dalam diri anda. Saya percaya setiap personaliti yang anda baca di ruangan ‘Success Stories’ di Kevin Zahri mempunyai pendapat yang sama berkenaan ini. Kadangkala, kegemukan bukanlah kesalahan individu itu sendiri, ianya sesuatu yang dikongsi bersama. Ianya disebabkan oleh kebiasaan yang dipupuk dari kecil. Ingat tak pesan, kalau makan, makan sampai kenyang kan? Bersenam juga dianggap sebagai perkara yang tidak wajib oleh kebanyakan masyarakat kita. Sama juga bagi mereka yang kurus disebabkan kadar metabolism tinggi, senaman masih juga relevan dan penting! Percayalah cakap saya, jika anda mempunyai azam untuk berubah anda pasti boleh mencapainya. Yang penting sekali, anda perlu ubah persepsi dan berhenti menyalahkan diri anda terhadap keadaan diri anda sekarang. Jika anda sedang membaca ini, ia bermakna anda sangat berminat untuk mengubah diri anda. Persoalannya sekarang, bilakah anda mahu mentadbir diri anda kembali? Jawapannya, sekarang!

Jika anda sedang membaca ini, ia bermakna anda sangat berminat untuk mengubah diri anda. Persoalannya sekarang, bilakah anda mahu mentadbir diri anda kembali? Jawapannya, sekarang!
Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Serendah RM5 Sebulan* Promosi RM50 selama setahun!(Sah sehingga 30 Jun 2011)

Alasan #3 – “Saya diet, tak payah bersenam lah!”

Perkataan ‘diet’ ialah salah satu terma yang paling gemar digunakan dan juga ‘disalahguna’ oleh orang ramai yang cuba untuk mengurangkan berat badan! Diet tak bermakna anda ‘berpuasa’ dan mengikat perut anda dari makanan. ‘Diet’ sebenarnya ialah jumlah makanan yang diambil oleh seseorang. Setiap individu mempunyai jumlah nilai kalori harian (DCR) berlainan bergantung kepada fizikal badan dan juga gaya hidup seseorang itu (sama ada aktif atau tidak). Sudah tentu, tidak mustahil bagi seseorang itu untuk mengurangkan berat badan dengan hanya berdiet. Tetapi ianya sangat tidak disyorkan kerana seseorang itu perlu sangat berdisiplin dalam pengambilan makanan. Terdapat juga kemungkinan besar untuk berasa lapar dan akhirnya anda mungkin terlebih makan kerana tersangat lapar! Oleh itu, ‘diet seimbang’ sangat disyorkan oleh majoriti pakar nutrisi yang meliputi diet (‘reduced calorie diet’) dan senaman. Tahukah anda bersenam membantu anda mengurangkan nafsu makan?

Alasan #4 – “Saya tak mahu pergi gym, saya tak mahu badan ‘besar’ macam ahli bina badan!”

Mungkin ini salah satu sebab kenapa kurangnya pengunjung perempuan di gimnasium. Kaum wanita sangat risau jika tubuh badan mereka akan berotot seperti lelaki bina badan. Jangan risau, kebanyakan lelaki juga mempunyai kerisauan yang sama kerana tidak mahu kelihatan ‘besar’ macam ‘weightbuilder’. Sebenarnya, bukan senang untuk seseorang kelihatan seperti ahli bina badan. Ianya adalah proses yang mengambil masa yang agak panjang dan diet mereka sangat berbeza berbanding mereka yang hanya pergi gym untuk menjadi sihat dan meningkatkan kesihatan diri. Jadi anda tak perlu risau! Perempuan dan lelaki juga mempunyai fisiologi yang berbeza. Kepada kaum wanita, bentuk badan anda akan menjadi lebih menarik kerana latihan di gym membantu membakar lemak badan. Jangan jadikan alasan ini untuk tidak mahu pergi ke gym lagi okay?

Alasan #5 – “Bencilah bersenam! Tak suka!”

Saya suka berlari. Mungkin anda tidak suka berlari. Anda mungkin mempunyai aktiviti yang anda minat yang mungkin anda sendiri tidak tahu lagi. Yang penting di sini, jangan mudah berhenti dan berputus asa. Teruskan bersenam dengan pelbagai aktiviti yang anda boleh cari dan cuba. Kawan saya dah berhenti berlari dengan saya selepas beberapa minggu dan sekarang masuk kelas ‘pole dancing’. Tak kisahlah apa pun yang anda buat, cuma pastikan ianya sesuatu yang aktif dan membuat anda berpeluh!

Alasan #6 – “Buat penat saja exercise, tak ada beza apa-apa pun!”

Ramai orang putus asa dan berhenti bersenam sepenuhnya sebab tak nampak apa-apa pun beza selepas penat bersenam selama beberapa minggu. Banyak faktor yang menyebabkan kenapa ianya berlaku tetapi ianya boleh disimpulkan kepada satu sahaja, iaitu pengetahuan asas mengenai senaman. Senaman akan menjadikan anda lebih sihat dan fit tetapi tidak akan membantu anda mengurangkan berat badan jika anda masih teruskan dengan diet anda yang biasa. Anda perlu tahu tentang konsep pemakanan sihat, dan juga tips mengenai senaman supaya anda boleh mencapai objektif anda secara efektif. Ingat, kualiti selalunya lebih penting dari kuantiti!

Alasan #7 – “Susahlah nak teruskan bersenam!”

Ada juga yang mahu bersenam tapi susah nak jadikan ianya satu amalan. Banyak sebab kenapa situasi ini boleh terjadi. Lazimnya ia mungkin disebabkan oleh terlalu memaksa diri untuk mencapai suatu objektif. Saya ingat lagi dahulu betapa azabnya untuk berlari hanya sejauh 1km tanpa henti. Ianya semuanya proses yang mengambil masa. Sekali lagi, ianya sangat bergantung kepada psikologi anda. Betapa banyak anda mahu mencapai objektif tersebut. Saya selalu ingatkan diri saya untuk buat yang terbaik setiap kali bersenam kerana saya yakin setiap kali bersenam ialah satu kejayaan terhadap diri saya. Tak ramai orang yang sanggup bangun dari sofa dan keluar rumah hanya untuk pergi bersenam bukan?

Akhir sekali, kita perlu ingat bahawa seseorang tidak akan berubah kerana apa yang mereka sudah ketahui, tetapi apa yang mereka rasa tentang sesuatu. Seorang perokok tidak akan berhenti merokok kerana tahu merokok membahayakan kesihatan atau mungkin menyebabkan kanser, tetapi berhenti kerana merasakan sesuatu yang tidak kena tentang tabiat tersebut.

- Artikel iluvislam.com


Islam satu agama yg merangkumi semua aspek kehidupan. Ini termasuk penjagaan dari sudut kesihatan yang mana Islam amat menitikberatkan kesejahteraan tubuh badan sebagaimana Islam menjaga jiwa dan akal.

Justeru itu kita amat dituntut supaya menjaga kesihatan kerana "sihat" merupakan anugerah berharga dari Allah. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab utk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu."
(Hadis Riwayat Bukhari)



Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud:

"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis Riwayat Muslim)

Agama Islam juga meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Ini berdasarkan Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan(iman). (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Perlu juga diingatkan di samping kita menjaga anugerah kesihatan yang diberikanNya kadangkala kita diuji dengan sedikit kesakitan. Rasulullah s.a.w. telah mewasiatkan kepada pesakit-pesakit supaya mereka berubat.

Sabda Nabi s.a.w. :

"Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam satu peristiwa, orang Arab Badwi telah datang kepada baginda Nabi dan mereka bertanya: "Ya Rasulullah adakah kami perlu berubat?" Maka sabda Nabi : "Ya, wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat sesungguhnya Allah tidak meletakkan suatu penyakit itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali satu penyakit sahaja." Maka mereka bertanya, "apakah penyakit itu?" Sabda Nabi : "Penyakit itu ialah 'tua'."

 (Hadis Riwayat Ahmad)

Dua hadis diatas menggesa supaya ahli perubatan mengkaji tentang penawar dan ubat bg penyakit yang belum ditemui lagi.

Di antara perkara yg menunjukkan Islam menggalakkan penganutnya menjaga kesihatan adalah Nabi s.a.w. telah menyenaraikan beberapa jenis ubat yang boleh digunakan seperti madu, berbekam dan tumbuhan herba.

Perubatan perlu dirujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang ini (perubatan) berdasarkan sabda Nabi s.a.w. :

"Jika sesuatu urusan itu berkait dengan hal-hal keduniaan maka kamulah yang mengaturnya dan jika ianya berkait dengan hal-hal keagamaan maka rujuklah kepadaku."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

- Artikel iluvislam.com


Oleh Anna Ramli. Sesetengah orang mempunyai bentuk badan seperti buah pear. Bahagian seperti pinggul dan peha kelihatan berisi dan tidak seimbang dengan bahagian atas badan anda. Sekiranya anda mengalami masalah ini, sudah tentu anda tercari-cari bagaimana cara untuk mengecilkan bahagian peha anda. Antara cara yang biasa kita lihat di sekeliling kita ialah dengan berlari atau jogging, berjalan atau 'walkathon', dan berbasikal. Tiga cara ini adalah sangat sinonim untuk mengurangkan lemak di bahagian peha. Adakah anda terfikir cara lain untuk mengecilkan peha anda?

Berikut merupakan langkah-langkah aktiviti yang boleh anda lakukan untuk mengecilkan bahagian peha anda:

1. 'Kerusi bayangan'

Berikut adalah panduan untuk senaman "kerusi bayangan":


  • Berdiri tegak sambil bersandar pada dinding.
  • Rehatkan tangan pada dinding dan turunkan badan perlahan-lahan. Turunkan badan sehingga kedudukan badan seperti sedang duduk. Bayangkan anda sedang duduk di atas kerusi.
  • Bila anda sudah ‘duduk’, cuba bertahan selama mana yang anda boleh sebelum anda berdiri tegak semula. Kebanyakan orang hanya boleh bertahan untuk beberapa saat sahaja pada permulaan. Setelah membiasakan diri, anda pasti akan dapat bertahan lebih lama.
  • Pastikan badan anda tegak semasa 'duduk'.
  • Cuba capai 10 saat pada permulaan, dan bertahan sehingga 1 minit setelah melakukannya beberapa kali. Lakukan 5 kali setiap hari.
  • Latihan ini agak mencabar kesabaran dan kekuatan mental anda. Mula-mula mungkin susah, tapi kalau dah lama-lama, anda mesti rasa sudah biasa.


2. Pergerakan "menggunting"

Latihan ini menumpukan bahagian peha sebelah dalam. Senang sangat! Baring atas lantai dengan kedua belah tangan di sisi. Angkat kedua belah kaki lebih kurang 45 darjah. Bayangkan pergerakan gunting semasa memotong kertas. Silangkan kaki anda dengan kaki kanan bersilang di atas kaki kiri. Kemudian, tukar kaki kepada kaki kiri pula bersilang di atas kaki kanan. Ulang langkah ini 12 – 15 kali untuk setiap set. Anda akan dapat rasa tekanan di otot-otot bahagian peha anda.

3. Pusingan bulatan

Baring mengiring di atas lantai dengan sebelah tangan anda ke atas (baring berbantalkan lengan anda) dan letakkan tapak tangan sebelah lagi di atas lantai di hadapan perut anda. Angkat sebelah kaki ke atas setinggi yang boleh. Tarik nafas, dan pusingkan kaki yang anda angkat itu mengikut pusingan jam. Gerakkan seluruh kaki tanpa menggerakkan pinggul anda. Buat pusingan jam sebanyak 5 kali sebelum ulang langkah tersebut menggunakan kaki yang sebelah lagi pula. Lakukan sehingga 10 set jika boleh.

4. Pakai kasut tinggi!

Kalau sebelum ini kita memerlukan alasan untuk pakai kasut tinggi, inilah masanya! Memakai kasut tinggi boleh membentuk otot betis dan peha. Walaupun kita kena beringat yang amalan memakai kasut tinggi ini boleh memberi kesan buruk kepada kaki dan postur, oleh itu anda perlulah berhati-hati! Kajian mengatakan bahawa kita tidak sepatutnya menggunakan kasut tumit tinggi yang melebihi 2 inci!

5. Melompat di atas trampoline

Melompat di atas trampoline ini sangat baik untuk peredaran darah dalam badan, pembakaran lemak, meningkatkan metabolism, mengurangkan selulit dan membentuk kaki yang cantik. Lakukan aktiviti ini selama setengah jam dapat membakar hampir 200 kalori dalam badan. Ia juga aktiviti yang sangat menarik yang anda boleh lakukan bersama keluarga mahupun rakan-rakan anda!

Aktiviti-aktiviti ini perlu dilakukan dengan sokongan pemakanan yang berkhasiat dan sihat secara konsisten. Semakin konsisten latihan disusuli dengan pemakanan yang sihat, semakin cepat anda boleh melihat hasilnya. :)

- Artikel iluvislam.com


Bismillahirrahmanirrahim...
gambar sekadar hiasan blog :)




Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Esa Rabbul Jalil, pencipta alam dan seluruh makhluk-Nya, yang mengatur, mentadbir setiap perjalanan dan kehidupan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda juga para syuhada dan sekalian umat Islam.


Sesungguhnya tiada yang bermakna dalam hidup sebagai hamba-Nya melainkan untuk beribadah kepada-Nya dengan penuh redha dan rendah diri. Justeru kita berkewajipan saling mengingati dan menginsafi akan kekurangan dan kelebihan diri melainkan semuanya milik Allah S.W.T semata-mata.


Beri waktu untuk berfikir mencari diri sendiri merenung hak dan amanah yang terpikul selama kita bernafas di muka bumi ini. Kita diberi terlalu banyak ruang dan peluang untuk memperbaiki sejuta kelemahan diri sebelum nafas terhenti direntap malaikat Izrail dengan izin-Nya. Marilah wahai saudaraku, berjuang menentang nafsu yang paling hebat iaitu nafsu diri sendiri sebelum kita mengorak langkah ke medan jihad yang lebih besar demi Islam tercinta.


Wahai remaja pejuang masa hadapan...


Carilah ilmu, teroka seluruh pelusuk alam mengembara ke segenap ceruk dunia untuk mencari sebuah kehidupan yang lebih bermakna demi Islam. Mengapa anda berkobar-kobar mengejar keseronokan yang tiada berpenghujung tanpa berfikir sejenak tentang kehidupan abadi di akhirat. Bina minda untuk melakar kembali sejarah silam membongkar detik-detik kehebatan, keunggulan tokoh-tokoh ilmuwan yang meletakkan Islam di martabat paling tinggi.


Muhasabah diri anda setiap detik jangan sampai alpa dengan peranan dan tanggungjawab. Hiasi diri dengan akhlak-akhlak mahmudah dan singkirkan sifat-sifat mazmumah. Perlihatkan identiti muslim yang mulia biar menjadi ikutan dan teladan.


Renungkanlah wahai remajaku...


Dunia semakin dimamah usia semakin dekat menuju Hari Kehancuran. Tidakkah anda sudi menginsafi akan segala kekhilafan dalam diri untuk memohon keampunan daripada Ilahi. Bangkitlah mencari kebenaran, perbetulkan segala kecurangan terhadap agama hasil kelemahan sendiri. Tiada waktu lagi untuk mengejar duniawi semata-mata lalu meninggalkan ukhrawi yang menjanjikan nikmat kekal abadi. Beri peluang kepada diri memperbaiki segala kekurangan mencari kembali jalan pulang. Sesungguhnya anda pembina agama, negara masa akan datang lalu binalah dengan jiwa dan hati yang penuh sifat jati diri seorang muslim sejati.


Remaja harapan negara...


Suatu saat dan ketika anda akan mengambil alih kepimpinan negara. Anda akan diberi peluang mentadbir dunia. Tadbirlah dengan semangat anak muda berjiwa patriotik. Andalah pembangun bangsa. Bangunkan dengan nilai-nilai moraliti yang tinggi. Andalah pejuang di medan jihad. Berjuanglah menggunakan segala kudrat dan kekuatan mengharapkan kemenangan di sisi Allah S.W.T. Biar apapun gelora yang melanda hadapi dengan hati yang tenang kerana perjuangan memerlukan kesabaran dan kekuatan akal fikiran.


Justeru itu, tinggalkan segala perilaku jelek dan jangan biarkan syaitan berterusan menjadi penghalang melakukan segala kebaikan.


Selamat berjuang. Semoga kemenangan menjadi kenyataan dan anda adalah taruhannya!


- Artikel iluvislam.com
Oleh Anna Ramli. Bosan dengan rutin senaman anda? Rasa terpaksa melakukannya? Kecewa dengan hasilnya? Di sini saya ingin kongsikan tips untuk membantu menjadikan masa bersenam dan melakukan workout di gim dengan lebih berkesan dan seronok.

1) Berhenti memberi alasan.

Perkara paling penting untuk menjadi sihat adalah berhenti memberi alasan. Secara tidak sedar, hidup kita sudah banyak dirosakkan dengan 1001 alasan untuk memulakan sesuatu yang sihat. Sebagai contoh jika anda ditanya, bila anda hendak memulakan rutin senaman, pasti terdengar jawapan seperti 'nantilah', 'esoklah', atau 'mula minggu depanlah'. Alasan sebegini seolah-olah menipu diri anda sendiri kerana anda tidak berasa bersalah terhadap diri sendiri disebabkan alasan tersebut.

Tetapi tahukah anda bahawa suatu hari nanti anda akan menyesal dengan alasan dan sikap bertangguh-tangguh anda itu? Oleh itu, berhenti memberi alasan, dan mulakan rutin sihat untuk kebaikan yang tidak ternilai di kemudian hari.

2) Fleksibel.

Anda tidak perlu melakukan semua jenis senaman dalam satu-satu masa untuk memperolehi hasil yang cepat. Sekiranya perlu, cuba bahagikannya kepada dua atau lebih banyak sesi untuk sepanjang hari. Dengan itu, ada akan mempunyai masa untuk merehatkan diri sendiri di samping melakukan aktiviti kecergasan.

3) Curi masa.

Jika anda tidak mempunyai masa yang banyak untuk melakukan senaman disebabkan tuntutan kerja harian, anda bolehlah mencuri masa 20 minit setiap hari untuk bersenam. Itu pun sudah boleh memberi perbezaan yang besar berbanding jika anda tidak melakukannya langsung. Something is always better than nothing!

4) Jadikan rutin.

Kesihatan yang baik adalah keperluan untuk hidup. Dengan memikirkan dan menetapkan bahawa bersenam adalah sesuatu rutin yang penting seperti rutin sihat yang lain, lama kelamaan secara automatik anda ingin melakukan senaman sama seperti rutin anda menggosok gigi. Sehari tak bersenam, gelisah satu badan!

5) Set gol anda.

Apabila anda mula bersenam, memotivasikan diri adalah kunci untuk anda terus bersemnagat melakukannya. Tulis gol atau target anda dan lekatkannya di tempat yang anda mudah lihat seperti cermin di bilik air.

Samada anda ingin mengurangkan kolesterol atau ingin muat dengan seluar jeans size 6 tanpa perlu menahan nafas, mengejar gol dan target anda itu akan membantu anda mencapai impian anda itu.

Anda juga boleh set mini gol atau mini target. Seperti mengurangkan 1.5kg berat badan dalam masa tiga hari melakukan senaman di gim. Apabila anda mencapai target anda itu walaupun dalam jumlah yang kecil, anda pasti tetap berpuas hati dan tidak sabar-sabar untuk meneruskan untuk sesi senaman pada keesokan harinya.

6) Konsisten.

Anda tahu kenapa hari terakhir anda lakukan senaman sudah pun berbulan-bulan yang lalu? Itu disebabkan anda tidak konsisten melakukan senaman dan kecergasan badan anda pun sudah keluar dari radar yang sepatutnya.

Untuk menjadi konsisten, anda perlu mencipta jadual senaman anda untuk sekurang-kurang tiga hari dalam seminggu. Dengan cara itu, anda boleh check samada anda patuh atau tidak dengan jadual yang anda sendiri cipta itu. Jika anda patuh dengan jadual anda, anda sendiri akan berpuas hati dan sekiranya tidak, anda tahu yang anda hanya menipu diri anda sendiri.

Anda juga boleh memvariasikan aktiviti dalam jadual anda itu untuk mengelakkan rasa bosan. Contohnya Isnin minggu ini anda buat aktiviti kardio, Isnin minggu depan anda boleh cuba lakukan yoga pula! Mencuba sesuatu yang baru juga boleh menaikkan semangat anda untuk bersenam!

7) Gabungkan aktiviti.

Sesekali mesti anda berasa bosan berlari di atas treadmill. Kalau dah bosan, anda akan mudah berhenti melakukannya. Anda boleh cuba berlari atau berjalan di atas treadmill sambil menonton televisyen ke, berborak di telefon dengan pasangan anda, mendengar lagu kegemaran, atau membaca majalah kesukaan anda!

8) Mulakan dengan perlahan.

Jika anda memulakan rutin senaman dengan terlalu cepat, anda akan mudah hilang semangat dan bosan untuk terus bersenam. Cuba memulakan aktiviti ini secara perlahan-lahan dan terus develop senaman anda dan menambah level dalam senaman anda. Anda akan terasa challenged dengan senaman anda itu dan itu yang akan terus memotivasikan diri anda untuk terus bersenam dan cuba membuat peningkatan dari satu level ke level yang lain.


9) Buat nota.

Tulis senaman harian yang anda lakukan – berapa km anda berlari atau berjalan, berapa kg dumbbell yang anda angkat. Anda akan dapat melihat perkembangan senaman anda sebelum anda nampak hasilnya. Sekiranya anda tidak nampak hasil, anda tahu apa yang anda perlu buat untuk menambah aktiviti senaman anda. Selain itu, anda akan dapat tahu apakah aktiviti yang paling berkesan mengikut keperluan badan anda sendiri!

10) Jangan obses.

Penting bagi setiap orang untuk komited terhadap rutin senaman mereka. Tapi jika anda pergi ke gim untuk berjam-jam setiap hari, dikhuatiri anda mungkin overtraining.

Jika anda bersenam, otot anda mungkin akan terkoyak sedikit. Otot anda akan membina tisu-tisu baru untuk menggantikan otot yang terkoyak. Tetapi itu akan sukar berlaku sekiranya otot anda tidak mempunyai masa yang cukup membinanya kerana anda telah melakukan aktiviti yang lain pula.

Jadi caranya? Berhenti rehat seketika sebelum anda memulakan semula sesi senaman yang anda lakukan. Beri masa kepada otot anda untuk membina semula otot baru. Dengan cara ini, anda boleh bersenam setiap hari dan dalam masa yang sama memberi rehat yang cukup kepada badan anda.

11) Beri hadiah kepada diri sendiri.

Raikan kejayaan anda dengan sesuatu yang sihat! Sebagai contoh, beli sebuah elliptical baru daripada anda membeli sebuah tv baru! :D

12) Cari seorang kawan.

Bersenam bersendirian memang akan menjadi bosan.Cuba cari seorang kawan yang akan menjadi teman anda bersenam dan membuat anda komited dengan aktiviti kecergasan yang anda lakukan. Anda juga boleh membincangkan perkembangan dan hasil yang anda perolehi sepanjang anda melakukan senaman. Selain itu, anda juga boleh membincangkan apa yang menghalang anda dari menjadi sihat bersama rakan anda. Anda juga boleh merancang aktiviti yang pelbagai bersama rakan anda itu.

13) Have fun!

Tak kira berapa banyak pun strategi yang anda cuba atur, ianya tak akan terhasil jika anda sendiri tidak gembira melakukannya. Mungkin kalau anda bosan melakukan aktiviti senaman yang sama, cuba bersukan pula. Anda juga boleh mencuba cara baru seperti menari, yoga, kickboxing dan pilates!

- Artikel iluvislam.com



Komunikasi sesama kita merupakan salah satu seni pembinaan personaliti. Ia termasuklah komunikasi ringkas dengan kawan-kawan dan rakan sekerja yang biasanya membawa impak yang besar kepada hati insan yang mendengarnya.Fokus artikel kali ini adalah alternatif-alternatif yang berkesan yang dapat kita aplikasikan dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi ketika berkomunikasi dengan orang lain.

Selalunya apakah antara ayat-ayat yang kita akan gunakan sekiranya kita mahu meminta pertolongan daripada orang lain atau sekiranya kita ingin meminta tolong dia seseorang membuat sesuatu?

Kebanyakan dari kita , tanpa disedari, selalu mengucapkan dialog tanpa kita fikir kesannya terhadap orang lain, kerana cara itu sering menjadi tabiat kita dari hari ke hari.

Contoh ayat suruhan: Saya nak awak selesaikan minit mesyuarat semalam.

Cara Alternatif: Saya nak minta tolong /perlukan pertolongan awak siapkan minit mesyuarat semalam untuk edaran segera.

Di dalam penyataan ini, kita masih menyatakan kita minta dia melakukan sesuatu(dengan nada yang baik dan bersopan) walaubagaimanapun dalam masa yang sama, kita memberitahunya kenapa ia perlu disiapkan atau dilaksanakan. Kebanyakan kita hanya tahu menyuruh orang lain membuat itu dan ini, tapi kita lupa memberitahu mereka kenapa perkara tersebut perlu dilakukan. Ini menyebabkan, orang lain kadang-kadang berada dalam keadaan kabur dan tidak mengerti permintaan kita.

Jika kita sebagai ketua didalam sebuah organisasi,  tidak salah sekiranya kita menggunakan kedua-dua frasa di atas, namun frasa yang kedua lebih menampakkan sikap anggun atau berhemahnya kita dalam meminta tolong seseorang melakukan tugas. Tapa disedari kita dapat mendidik orang bawahan kita melakukan perkara yang sama terhadap orang lain. Akhirnya aura berhemah ini akan berkembang di sekeliling kita.

Dalam situasi kita menunggu email atau surat daripada seseorang. Kita sering bertanya mereka dengan soalan-soalan sepeti ini:
Contoh: Dah hantar ke email ke? / Kenapa tak hantar lagi?
Dalam keadaan begini kita meletakkan kesalahan kepada orang lain. Sekiranya benar mereka sudah menghantar email tetapi ada masalah teknikal, pasti mereka tersinggung dengan pertanyaan mengapa dan kenapa.

Oleh itu, sebagai alternatif kita boleh cuba bertanya begini:
Saya masih belum terima email yang dijanjikan ... ( ayat seterusnya)

Dalam keadaan kedua, kita merujuk kepada masalah kita iaitu dengan memahami dan membuat sangkaan bahawa mungkin dia telah menghantar dan berlakunya masalah teknikal dan bukannya menuduh orang lain walaupun benar dia masih tidak menghantar email itu kepada kita.

Dengan cara ini, sekiranya benar dia sudah menghantar email, dia akan memberi respon yang responsif dan bukannya defensif. Namun, sekiranya dia masih belum menghantar email tersebut, dia akan segera melakukannya kerana dia dengan sendirinya menyedari bahawa kelambatan dia telah menyebabkan orang lain tertunggu-tunggu.

Ini merupakan cara teguran yang dapat membina personaliti seseorang dengan lebih baik di dalam komunikasi.
Kurangkan bertanya mengapa dan kenapa di dalam komunikasi kecuali kita mahu menghukum seseorang dalam keadaan yang seadilnya, ianya (pernyataan pertama) memang wajar digunakan.

Sentiasa berfikir sekiranya mahu berbicara, dan selalu merujuk ayat itu kepada kita sebelum kita melafazkannya. Dengan berlatih, penguasaan komunikasi akan menjadikan kita lebih berhemah.Usahlah kita sering mencari kesalahan orang lain tetapi gunakanlah pendekatan-pendekatan positif agar dapat memberikan impak yang lebih baik kepada masyarakat.

 "Practice makes perfect".

 

 

Sumber imej : Google Image

-Artikel Iluvislam.com

Tukar persepsi. 
Ujian = Rebah. Tetapi selepas itu? Ujian = Bangkit kembali. Pandang hadapan. Teruskan.

Allah bagi ujian sebab sayang. Kan?
Allah bagi ujian sebab kasih. Kan?
Allah bagi ujian sebab uji kesabaran. Kan?
Allah bagi ujian sebab nak tingkatkan iman. Kan?
Allah bagi ujian sebab nak kita kembali mengingati Dia. Kan?
Allah bagi ujian sebab nak kita sedar kesilapan kita. Kan?
Allah bagi ujian sebab nak kita tahu Allah rindu kita bercakap dengan dia. Kan?
Allah bagi ujian sebab rindu kita mengadu pada Dia. Kan?
Allah bagi ujian sebab nak kita tahu Allah sentiasa ada bila-bila masa, senang atau susah. Kan?
Allah turunkan hujan sebab nak munculkan pelangi. Kan?

Jadi, jangan putus asa.
Jangan pernah putus asa.
Rahmat Allah sentiasa ada insha Allah.
Insha Allah.

Dah boleh berhenti dari menangis. Dah boleh kesat air mata. Dah boleh lupakan segalanya. Dah boleh senyum. Alhamdulillah. Allah sentiasa sayangkan hamba-Nya. Sentiasa.

- Artikel iluvislam.com
Biodata Penulis
Fathlea H Hanya seorang manusia biasa yang sedang mencari cinta Tuhannya. Beliau berkongsi karya di http://fantasibungaaputeh.blogspot.com/.