Cinta high class bukan ekslusif milik sesiapa. Cinta high class berhak dimiliki oleh kita semua.


Jangan tunggu esok. Hari ini juga kita mesti mencintai secara high class.

Jangan lupa, bantu si dia agar mampu mencintai secara high class juga.

Err, apa itu cinta high class?

Cintamu mendaulatkan Allah nombor satu,Cintamu padaku kerana Allahmu yang satu,Cintamu bermujahadah menahan nafsu.

"Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik)." (HR al-Tarmizi).
Saya terfikir, wanita dan lelaki saling tertarik. Itu biasa. Malah ketertarikan yang kuat ini turut dirasai oleh binatang jantan dan betina. Begitulah cara Allah menjamin berterusannya kehidupan di dunia.

Wanita dan lelaki saling jatuh cinta. Itu juga biasa. Islam menolak sistem yang cuba menghapuskan terus fitrah ini seperti merahibkan diri. Islam menawarkan solusi iaitu pernikahan untuk menyalurkan fitrah menjadi barakah.

Wanita dan lelaki sanggup berkorban segala-galanya demi cinta. Itu luar biasa. Tapi boleh membawa binasa. Tanpa asas agama, maruah diri sanggup dikorbankan sekali. Islam menutup pintu-pintu yang membawa kekejian untuk melindungi lelaki dan wanita daripada punca-punca keghairahan dan pencetus fitnah.



Wanita dan lelaki bercinta selepas nikah, saling melengkapi agama pasangannya. Ini jauh luar biasa. Dan ini barulah high class.  Jika belum menikah, cinta menjadi high class apabila teruna dan dara saling tinggi mujahadah.  Bantu si dia memahami dengan mengurangkan perjumpaan dan komunikasi. Ianya atas dasar urusan dan keperluan sahaja dengan menjaga syarat dan batasan.

Jika di luar batas urusan, mintalah fatwa dari hati. Kebaikan itu apa yang tenang dalam hati. Dosa itu apa yang was-was dan syak dalam hati. Nikmatilah indahnya saat menahan, bila halal, penuh keterujaan.

Saya cuba memahami, mawar dan kumbang berbeza untuk saling melengkapi. Mereka saling jatuh cinta kerana perbezaan itu. Lelaki sukakan sifat kewanitaan seorang wanita. Wanita sukakan sifat kelelakian seorang lelaki.

Lelaki dan wanita bagaikan botol dan penutupnya. Bagaikan elektron dan proton. Bagaikan baju dan seluar. Bagaikan sepasang selipar. Saling memerlukan.

Bukti saling memerlukan ini akan menjadi luar biasa dan high class jika diluapkan kepada insan istimewa bernama suami atau isteri, bukan untuk teman wanita atau teman lelaki. Kenapa ianya high class?

Itu tanda patuhi Allah.Itu tanda jauhi fitnah.Itu tanda sebuah mujahadah.

'Jodohku, aku tidak tahu dirimu siapa dan entah di mana. Aku cuma tahu engkau ada, di dunia atau di syurga. Akan kusimpan perasaan ajaib ini. Akan kuluapkan untukmu setelah akad menghalalkan kita.' (Monolog Qani'ah Syumaila dalam novel Cinta High Class).

- Artikel iluvislam.com

Ditulis oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin. Beliau merupakan penulis novel tauhid. Terbaru beliau menghasilkan novel Sebarkan CintaMu terbitan PTS. Beliau juga menulis di http://sebarkanbahagia.blogspot.com



Cinta, jodoh dan syurga. Hal ini sering menjadi persoalan yang sentiasa bermain di minda remaja. Ramai sekali muda-mudi yang hidup dalam dilema mengenai jodoh.

Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.

Pastinya setiap daripada kita mengingankan jodoh yang diberkati dan membimbing tangan kita menuju syurga Allah yang hakiki.

Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

Bagi menghuraikan lanjut mengenai persoalan kehidupan yang berlegar dalam jiwa dan minda individu, Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin Universiti Malaya membawakan program Cinta, Jodoh dan Syurga kepada mahasiswa-mahasiswa Universiti Malaya serta penduduk sekitarnya.

Melalui ahli panel terkemuka, Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Ustazah Zawiah Hassan dan Prof. Dr. Muhaya Mohamed, program ini dapat memberikan dunia dan pemikiran baru kepada remaja mengenai persoalan cinta.

Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Rohidzir Rais ini bakal membuka minda dan jiwa remaja mengenai persoalan cinta dalam kehidupan.

Tidak ketinggalan wakil iluvislam turut membuka pendaftaran Konvensyen Bidadari Dunia 2012 yang berlangsung pada 24 dan 25 Mac ini.

Kepada penduduk sekitar Petaling Jaya dan mahasiswa Universiti Malaya, jangan ketinggalan memeriahkan Minggu Penghayatan Islam (MPI) melalui forum Cinta, Jodoh dan Syurga ini. Temui kami di Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin, Universiti Malaya pada 8 Mac 2012 bermula dari jam 9 malam ini.

- Artikel iluvislam.com


Semua orang di dunia ini suka apabila merasakan diri mereka bijak. Ya, sememangnya manusia adalah makhluk yang bijak kerana mempunyai akal yang mampu untuk membuat pertimbangan. Akal yang bijak sudah semestinya lahir daripada otak yang cerdas. Jadi bagaimanakah cara anda menjaga otak untuk membantu menjadi orang yang lebih bijak?


Mengambil sarapan pagi - Ramai pakar kesihatan menyatakan bahawa sarapan adalah penentu kepada kualiti persembahan anda untuk sepanjang hari tersebut. Ini menunjukkan bahawa pentingnya mengambil sarapan didalam kehidupan seseorang. Seseorang yang tidak mengambil sarapan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi rendah dan mengurangkan bekalan nutrisi pada otak. Faktor ini akan menyebabkan banyak sel-sel otak akan mati dan akan menjadi kurang aktif.

Elak makan secara berlebihan - Orang yang bijak biasanya amat menitikberatkan terhadap pemakanan mereka. Ini kerana jika seseorang makan secara berlebihan akan menyebabkan banyak darah akan dialirkan pada bahagian usus dan perut untuk tujuan pencernaan. Ini menyebabkan kekurangan darah yang akan sampai ke otak dan akan mengakibatkan seseorang itu malas, mengantuk dan hilang daya fokus.

Elak merokok - Asap rokok sangat merbahaya kerana mempunyai terlalu banyak bahan kimia yang sebenarnya akan merosakkan sel-sel otak anda.

Elak daripada mengambil gula secara berlebihan - Pengambilan gula yang berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Ia juga akan mengganggu perkembangan otak anda yang akan menyebabkan anda menjadi seorang yang kurang bijak.

Hidu udara yang bersih -  Otak merupakan pengguna oksigen terbesar dalam sistem badan manusia. Menghidu udara yang segar akan membantu untuk mencerdaskan lagi otak serta membaiki sel-sel otak yang rosak.

Elak Tidur secara berlebihan - Tidak dinafikan tidur adalah cara terbaik untuk merehatkan otak seseorang. Tetapi sekiranya ia dilakukan secara berlebihan, ia akan menyebabkan otak menjadi kurang aktif dan secara tidak langsung akan melemahkan daya berfikir seseorang.

Elak Tidur dengan menutup muka - Tidur dalam keadaan meniarap atau mencekup muka dengan bantal, buku, lengan atau sebagainya akan menyebabkan gas karbon oksida terperangkan dan akan dihidu semula. Ini akan menyebabkan otak kekurangan oksigen serta merosakkan sel-sel otak seseorang.



Selalu berimaginasi/berfikir - Sesuatu barangan yang jarang digunakan sudah pasti akan mempengaruhi tahap persembahan sebenar yang mampu dilakukan. Begitu juga dengan otak, sekiranya ia jarang untuk diasah ataupun dilatih, ia akan menyebabkan pemikiran seseorang itu menjadi tumpul dan mereka akan menjadi kurang bijak.